Wednesday 16 January 2013

tinta 1 : Tuhan, tolong selamatkan altamis..

Tuhan, tolong selamatkan altamis..lindungilah anakku..lahirkanlah dia dalam keadaan yang selamat, sempurna sifat dan mampu berdikari.

Sungguh, cuma kepada Allah satu-satunya  tempat aku menagih kasih mohon belas kasihan agar dipermudahkan jalanku dan altamis ini. Altamis bermaksud panglima. Aku amat berharap nama ini menjadi doa agar anak aku lebih kuat menempuhi pancaroba hidup dari dalam rahimku hinggalah beliau dewasa nanti. Sungguh ku mengharapkan altamis betul-betul kuat dan menjadi anak yang hebat. Dari dalam kandungan lagi kami diduga. Beberapa kali juga aku menangis kerana dugaan ini terlalu hebat menghimpitku, mendesakku membuat terlalu banyak keputusan drastik, melibatkan banyak pihak, banyak pengaruh, membuatkan kadang-kadang aku menjadi penat dan hampir rebah. Namun ku gagahi juga bangun kerana amanah Allah, anak yang kuat inilah yang mendorongku untuk tidak berputus asa. Tuhan memberikannya untuk menemani diriku dari mula kejadiannya, ketika suamiku mula meninggalkanku di sini sendirian berbulan-bulan lamanya untuk mencari rezeki di perantauan. Ketika aku mula dihempas kesunyian yang teramat sangat. Ketika aku rasa kehilangan yang tiada sesiapa pun tahu. Aku telah dihadiahkan Altamis di dalam rahimku. Dari jauh aku masih ingat suara seorang bakal bapa yang terlalu gembira dengan anugerah Tuhan ini.

Kenapa Altamis amat ku kagumi dan ku banggai? Kerana selama 6 bulan dia dirahimku tanpa kehadiran bapanya saban hari kecuali dihujung minggu, dialah yang menjadikan aku seorang ibu yang sangat kuat. Setiap hari aku drive ke TBS dengan altamis, mengejar train dengan altamis, tukar train dengan altamis, kadang-kadang dapat duduk tapi selalunya kena berdiri coz orang padat dan perut pulak tak nampak, balik rumah mencuci dapur dengan altamis, stayback di office sampai lewat pagi untuk siapkan kerja dengan altamis, kadang-kadang memasak, berdiri lama untuk memotong bahan-bahan mentah di dapur dengan altamis, memanjat kerusi untuk sidai kain di yard dengan altamis, jadi photographer di wedding-wedding pun dengan altamis. Di awal-awal mengandung dulu masa belum berani drive kereta, aku pulang ke flat dari train station jalan kaki dengan altamis, kadang-kadang bila lift rosak, terpaksa panjat tangga ke tingkat 14 juga bersama-sama altamis.

Kerana tanggungjawab aku terpaksa buat semua ni dengan melibatkan altamis. Bukan aku tak risau. Sedari awal, aku dah maklum aku low lying placenta. Seawal 4 minggu kehamilan aku tahu. Tapi aku sendirian tanpa suami di sisi, kadang-kadang keadaan amat memaksa aku berada dalam posisi bahaya. Masa saat ku muntah-muntah teruk 4 bulan lamanya, aku juga harungi sendiri seorang diri setiap hari. Aku mengidam? Apakan daya, suami jauh di sisi. Terpaksa diketepi kalau tidak tercari. Pernah di train station KL Sentral, sekitar jam 9-10 malam, akibat menunggu lama, aku sesak nafas, sakit belakang, mata berpinar-pinar dan tiba-tiba hampir jatuh pitam. Mujur Tuhan berikan aku sedikit ruang dan tenaga untuk aku pulang dan ada teman yang mengambil aku ketika train tiba di TBS. Sungguh, Tuhan menjaga Altamis dengan sangat baik di masa susah senangku. Meskipun Tuhan tahu tentang penghidupan aku, keadaan aku. Tuhan juga tahu tempat terbaik untuk altamis. Ditempatkan juga altamis dalam diriku. Tuhan meletakkan kepercayaan kepadaku untuk menjadi ibu altamis. Sungguh mulia dan terhormat rasanya diberi tugasan menjadi seorang ibu sedangkan selama ini aku tertanya-tanya, layakkah aku menjadi seorang ibu? dapatkah aku menjadi seorang ibu yang mithali?  dan telah lama aku tanam dalam diri tentang Tuhan tidak akan kurniakan zuriat selagi kita belum layak untuk menggalas tanggungjawab terhadapnya. 7 bulan berkahwin tiada tanda-tanda aku bakal mendapat zuriat, tapi bulan ke 8, Tuhan anugerahkan altamis dalam diriku. Sungguh terharu. Sebab itu aku yakin (sepenuh hati) altamis tidak akan apa-apa ketika aku terpaksa bekerja keras dan membuat kerja berat untuk hidup. Tuhan telah mengatur kehidupan yang lebih kompleks dari itu. Aku yakin Altamis baik-baik saja dibawah pengawasan Tuhan.

Sejak dari 4 minggu aku telah membuat buku merah untuk memantau kandunganku setiap bulan. Ketika 27 minggu, aku dan suami ke Hospital Umra untuk membuat detail dan 4d scan. Pertama kali kami mengetahui jantina anak kami. Jelas. Wajah altamis juga, jelas. Alhamdulillah. Semuanya baik-baik saja. Walaubagaimanapun ketika itu doktor telah mengesan uri ku masih di bawah dan dikategorikan sebagai placenta previa type 1. Aku pernah membacanya di internet. Namun, aku belum benar-benar faham tentangnya. Disebabkan itu apabila pulang, aku mula mengkaji dan memahami apakah itu placenta previa dan risikonya.

Placenta previa..(to be continue)

Tuesday 15 January 2013

pembuka tirai tinta

Hari ini 15 jan 2013, aku mula keluar dari dunia arsitektur untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku dikelilingku. Banyak perkara yang berlaku lebih cepat dari tindakanku buatkan aku blur tidak terkejar. MC dua minggu yang doktor kasi untuk berehat dari segala urusan kerja demi menjaga kandunganku ini buat mataku terbuka terhadap dunia. Tuhan menganugerahkan aku Altamis dengan pelbagai cabaran melaluinya supaya aku sedar tentang semua kealpaan aku dan sikit demi sedikit Tuhan mengajarku tentang cara-cara memikul tugasan baru dengan penuh tanggungjawab supaya aku lebih bersedia nanti  untuk tugasan-tugasan yang lebih mencabar dari tugasan di hari-hari yang telah aku lalui. Ya, Tuhan membantu peringkat demi peringkat kehidupan ini dan pasti tidak akan membebani manusia dengan perkara yang tidak mampu dipikulnya. Allah maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Meskipun aku seorang yang teliti, berperancangan dan berstrategi, perancangan dan strategi Allah jugalah yang ku akui terbaik dan terhebat dan tidak ada sesiapapun yang tertandingi. Dia begitu teliti merancang kehidupanku. Episod-episod kehidupanku, akulah saksinya. Tentang kebesaran dan keagungan Allah, tentang kasih sayang Allah, tentang sifat kasih Allah kepada aku. Walaupun aku sering alpa dengan tanggungjawabku kepadaNya, Dia tidak pernah meninggalkan aku. Sentiasa menyelamatkan aku dari lorong-lorong yang salah dan meletakkan aku di lorong-lorong yang dihadapannya penuh dengan hikmah untuk ku lalui tanpa ku ketahui. Ku melangkah di lorong hikmah itu tentunya dengan air mata dan seribu pertanyaan yang berbelit-belit kekecewaan. Tapi ku yakin juga jalan ketentuan Tuhan walaupun aku tidak tahu penghujungnya apa hingga aku menemukan hikmah demi hikmah. Dan hikmah-hikmah itu aku mahu berkongsi di sini. Untuk tatapan mereka yang juga mahu berkongsi.

Adi Altamis bin Muhamad Solehudin
ketika 27 minggu dalam kandungan